Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Guru Sains dan matematik di Sarawak disaran mengambil iktibar dari filem “The Boy Who Harnessed The Wind” mengenai kegigihan seorang budak lelaki menangani kemarau, bagi memberi inspirasi kepada para pelajar supaya menjadi lebih inovatif.

Menteri Sarawak saran guru ambil iktibar dari filem “The Boy Who Harnessed The Wind”

KUCHING, 9 Ogos : Guru Sains dan matematik di Sarawak disaran mengambil iktibar dari filem “The Boy Who Harnessed The Wind” mengenai kegigihan seorang budak lelaki menangani kemarau, bagi memberi inspirasi kepada para pelajar supaya menjadi lebih inovatif.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Roland Sagah berkata kisah yang dipaparkan filem itu adalah satu contoh terbaik bagi memupuk inovasi dalam kalangan pelajar.

“Aktiviti amali, permainan dan apa sahaja yang berkaitan dengan budaya tempatan amat penting dalam menarik minat pelajar di luar bandar. Permainan tradisional dan kekayaan budaya masyarakat boleh digabung atau dihubungkaitkan dengan pengajaran dan pembelajaran sains, reka bentuk teknologi dan matematik,” katanya.

Berucap merasmikan Program Dwi Bahasa (DLP) Sarawak 2022 – Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris di sini hari ini, beliau berkata Sarawak sedang menuju ke arah menjadi sebuah negeri maju menjelang 2030 dan bagi memenuhi aspirasi ini, ia memerlukan modal insan yang lebih cekap dan berkemahiran.

Filem “The Boy Who Harnessed The Wind” merupakan sebuah filem drama British yang diterbitkan pada tahun 2019 arahan Chiwetel Ejiofor, memaparkan kecekalan seorang budak lelaki di Malawi pada 2001 menggunakan inovasi bagi mengerjakan tanaman semasa penempatannya dilanda kemarau.

Roland Sagah berkata matlamat dan objektif DLP Sarawak adalah untuk memacu kecemerlangan pendidikan dan memenuhi keperluan Revolusi Pendidikan Keempat (IR4.0).

Katanya Kerajaan Sarawak menyokong penuh DLP dan kementeriannya telah memperuntukkan dana kepada Institut Pendidikan Guru Kampus (IPGK) Batu Lintang di sini untuk program itu dengan harapan semua guru di negeri ini akan dibekalkan dengan pengetahuan asas dan penguasaan bahasa.

Beliau berkata IPGK Batu Lintang terus menerajui bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta inovasi untuk menyumbang ke arah kecemerlangan pendidikan di Sarawak.

Menurutnya usaha gigih institut itu dapat dilihat melalui perkongsian pintar dengan beberapa sekolah untuk menjalankan program inovatif seperti Green Box bersama SMK St Theresa di Kuching, Teknologi Dron dalam Pendidikan dengan SMK Dalat di Mukah dan Realiti Maya dengan SMK Sebauh, Bintulu dan SMK Belaga, di Kapit.

“Saya percaya kepercayaan yang diberikan kepada IPGK Batu Lintang, dibantu oleh IPGK Rajang dan IPG Sarawak akan mencapai matlamat untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam kalangan guru di seluruh Sarawak dan akhirnya menyumbang kepada aspirasi mentransformasikan negeri menjadi hab berorientasikan IR4.0, ” tambahnya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan