KUCHING, 9 Ogos : Pencarian seorang kanak-kanak lelaki 12 tahun yang hanyut dibawa arus sungai berakhir apabila mayatnya ditemui pagi tadi di hilir Sungai Sundar, Lawas.
Menurut kenyataan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas, mayat Nabil Suhaili ditemui oleh bot bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) pada pukul 9.28 pagi tadi.
“Mangsa berjaya ditemui oleh Bot IB BBP Lawas dan APM setelah bersama-sama melakukan teknik ‘sweeping’ di tebingan hilir Sungai Sundar,
Baca lagi > > > Lawas: Kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas di Sungai Sandar
Mayat mangsa kemudian dinaikkan ke bot bomba dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk pengesahan keluarga mangsa dan pengesahan daripada pegawai perubatan.” katanya.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang diketuai oleh Ketua Balai BBP Lawas, PPgB Azman Ibrahim dijalankan dengan kekuatan 11 anggota bomba, dua orang polis, tiga anggota APM dan bantuan 30 orang kampung.
Operasi SAR dihentikan sepenuhnya pada pukul 10.30 pagi tadi.
Pada petang Ahad, mangsa dilaporkan sedang mandi bersama lima orang rakannya di Sungai Sundar sebelum hanyut dibawa arus sungai.
Rakan mangsa cuba menyelamatkannya tetapi tidak berjaya kerana arus sungai yang deras. – TVS