MUKAH 7 Ogos : Pertandingan Silat Premier Sarawak Cup anjuran Rumpun Silat Sarawak (RSS) yang dijadual berlangsung pada Disember ini bakal menyaksikan penyertaan peserta antarabangsa.
Timbalan Presiden RSS, Datuk Mohd. Yusnar Matalie berkata, sehubungan itu beliau berharap agar pesilat Sarawak dan seluruh Malaysia akan membuat persiapan terbaik supaya dapat memberikan saingan sengit pada kejohanan berkenaan.“Kita mahu Pertandingan Silat Premier Sarawak Cup berlangsung meriah dengan penyertaan pelbagai negara seperti Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2022 di Melaka baru – baru ini,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Rumpun Silat Sarawak Beach Game oleh Timbalan Residen Bahagian Mukah, Shafrie Saili di sini hari ini.Mohd. Yusnar berkata, selain penyertaan pesilat Sarawak, beliau juga menyeru pesilat – pesilat negeri lain untuk menyahut cabaran berkenaan dan seterusnya bersama – sama mempertahankan seni bela warisan di negara ini.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan sebelum kejohanan pada Disember itu, pihaknya turut menganjurkan satu lagi pertandingan silat di Sibu pada bulan depan.“Pertandingan ini dinamakan Piala Presiden RSS dan saya juga berharap ianya akan mendapat sambutan,”katanya. -TVS