KAPIT, 7 Ogos : Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang kanak-kanak lelaki yang dikhuatiri lemas selepas perahu dinaiki bersama keluarganya karam di Sungai Rajang pada Jumaat lepas masih belum menemui sebarang petunjuk.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit, Penolong Penguasa Bomba, Timoty Barat berkata, operasi hari kedua semalam turut disertai pasukan dari BBP Song.
Katanya, pasukan berkenaan terlibat dengan SAR di kawasan hulu Sungai Batang Rajang, bermula di kawasan berhampiran Pekan Song.
“Pasukan BBP Kapit pula menyusuri hilir sungai ke Nanga Melipis sepanjang 38 kilometer (km),” katanya ketika dihubungi TVS di sini hari ini.
Baca lagi > > > Kanak – kanak 10 tahun dikhuatiri lemas perahu karam di Kapit
Dalam kejadian pagi Jumaat itu, Jenggut Antas hilang selepas perahu dinaiki bersama bapa, ibu dan adik perempuannya untuk menyeberang sungai ke Pekan Kapit karam selepas melanggar kapal tongkang.
Difahamkan sebelum pelanggaran, perahu itu mengalami kerosakan enjin menyebabkannya hanyut.
Kejadian tragis itu turut mendapat perhatian penduduk sekitar yang mengharapkan agar SAR yang dilakukan memberi khabar gembira.
Sementara itu, Timoty berkata, berdasarkan maklumat, selepas perahu itu karam, ayah mangsa sempat menyelamatkan anak perempuannya yang berusia lima tahun manakala isterinya cuba menyelamatkan Jenggut namun anak sulungnya itu terlepas daripada genggamannya dan dihanyutkan arus deras.
Beliau memberitahu, operasi SAR hari ketiga disambung pada pukul 9 pagi tadi. – TVS