KUCHING, 7 Ogos : Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak komited untuk menyediakan kemudahan jalur lebar kepada rakyat negeri ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, melalui Program Jalinan Digital Negara (JENDELA), kerajaan memperuntukan RM4.09 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk memastikan capaian jalur lebar yang menyeluruh kepada Keluarga Malaysia di Sarawak menjelang 2030.
“Baru-baru ini, satelit kelapan negara, MEASAT-3d dengan kos sekitar RM1.2 bilion telah dilancarkan bagi meningkatkan kelajuan capaian internet sedia ada, sekaligus merapatkan jurang digital antara penduduk bandar dan luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Sarawak di sini hari ini.
Yang turut hadir, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, kerajaan berharap menerusi peruntukan dan projek – projek yang dilaksanakan, ianya dapat memanfaatkan rakyat di seluruh negara dan tiada lagi yang terpinggir.
“Inilah antara tanda keprihatinan dan inisiatif kerajaan kepada rakyat di negeri ini.
“Kerajaan berharap selepas ini tiada lagi Keluarga Malaysia yang terpaksa memanjat pokok atau berkhemah di atas bukit semata-mata mencari liputan internet,”katanya. -TVS