KUCHING, 7 Ogos: Tanggal 8 Ogos, negara Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) akan menyambut Hari ASEAN dengan tema tahun ini ‘Bantuan Kemanusiaan Serantau’.
Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dalam ciapannya di laman twitter berkata bantuan kemanusiaan menjadi keutamaan negara ASEAN bagi menyelamatkan nyawa dan mengurangkan penderitaan semasa dan selepas bencana alam serta krisis kemanusiaan.
“Sebarang bencana akan mengakibatkan kerugian ekonomi yang berlebihan selain peningkatan pada angka kematian dan bilangan pelarian.
“Dengan bantuan kemanusiaan, ASEAN berhasrat untuk memperkukuh persiapan menjelang bencana,” katanya.
Perjanjian ASEAN tentang Pengurusan Bencana dan Respons Kecemasan (AADMER) katanya menjadi dasar induk dalam mengukuhkan usaha kolektif untuk mengurangkan risiko bencana dan menambah baik respons terhadapnya.
Namun, selain peruntukan yang tidak mencukupi, cabaran utama bantuan kemanusiaan ialah kendalian sistem bantuan yang tidak dapat memenuhi kehendak semasa.
Menurutnya antara isu yang sering berlaku ialah bantuan barangan dan perkhidmatan yang tidak selari dengan keperluan sebenar mangsa yang menyebabkan pembaziran dan penyelewengan.
Oleh itu, beberapa penambahbaikan perlu dilaksanakan bagi membaiki sistem bantuan kemanusiaan tersebut termasuk mewujudkan rangka kerja akauntabiliti dan ketelusan dalam pembiayaan serta tugas.
“Apa yang perlu dilakukan ialah pihak yang terlibat perlu menentukan keutamaan dalam bantuan kemanusiaan seterusnya meneruskan langkah lain,” katanya.
Jelasnya lagi, kerjasama di antara tiga sektor iaitu kerajaan, perniagaan dan masyarakat sivil perlu diperkukuh dan birokrasi perlu diatasi untuk menambah baik sistem sedia ada.
Tambah beliau dalam usaha menambah baik sistem bantuan kemanusiaan ASEAN, pembangunan dan kemajuan perlu ditambah baik.
Saifuddin ketika ini berada di Pnhom Penh, Kemboja bagi menghadiri Mesyuarat Menteri Luar ASEAN yang telah bermula sejak 5 Ogos lalu.- TVS