KUCHING, 6 Ogos : Seorang lelaki Indonesia didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Sri Aman semalam selepas mengaku bersalah menggunakan kad pengenalan milik orang lain untuk mendapatkan rawatan di hospital kerajaan.
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sarawak memaklumkan, pendakwaan dijalankan mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan – Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) di hadapan Majistret, Muhamad Yasser Mohd. Nasri.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Jeremy Anak Eric manakala tertuduh yang berusia 28 tahun tidak diwakili peguam.
“Sekiranya tertuduh tidak membayar denda, dia berdepan hukuman penjara lima bulan dan tertuduh hendaklah dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia setelah selesai menjalani hukuman penjara untuk tujuan penghantaran balik ke negara asal,”jelas JPN Sarawak menerusi kenyataan semalam.
Terdahulu, suspek yang berasal dari Senaning, Indonesia yang membuat pengakuan lisan bernama Juli Iskandar dikesan menggunakan kad pengenalan Victor Gregory Anak Nicholas ketika mendapatkan rawatan susulan di Hospital Sri Aman pada 3 Ogos lepas. -TVS