KOTA KINABALU, 5 Ogos : Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya merampas minuman keras bernilai lebih RM658 000 yang dipercayai diseludup masuk ke negeri ini melalui Pelabuhan Sepanggar.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Julaiman Soimin berkata, kejayaan itu dicapai menerusi pemeriksaan yang dilakukan pada pukul 10.50 pagi pada 29 Julai lepas ke atas tiga kontena di situ.
Katanya, penemuan imej imbasan ke atas ketiga – tiga kontena itu menimbulkan kecurigaan dan seterusnya pemeriksaan teliti dilakukan.
“Hasilnya, Kastam telah menemui 9,000 kotak bir pelbagai jenama yang melibatkan anggaran cukai sebanyak RM910,00.00.
“Jumlah nilai barangan dan cukai dianggarkan mencecah RM1,568,000,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Menurutnya, modus operandi ialah menyeludup minuman keras berkenaan dengan mengikrar dagangan barang lain bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini,”katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967. – TVS