Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas pelbagai pakaian dan beg berjenama disyaki palsu bernilai RM9,130 dalam serbuan di sebuah kedai di Gelugor ,dekat sini, semalam.Foto TVS

Pakaian dan minyak wangi jenama mewah palsu dirampas

GEORGE TOWN, 4 Ogos : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas pelbagai pakaian dan beg berjenama disyaki palsu bernilai RM9,130 dalam serbuan di sebuah kedai di Gelugor ,dekat sini, semalam.

Ketika operasi kira-kira pukul 2 petang itu, empat individu warga tempatan turut didapati berada di dalam premis berkenaan dipercayai sedang bekerja.

Ketua Pegawai Penguatkusa KPDNHEP Pulau Pinang, A. Mogan berkata, pihaknya merampas 190 unit barangan berjenama disyaki menggunakan cap dagangan palsu bagi siasatan lanjut.

“Kita menyita sembilan unit beg berjenama Dior, kemeja-T Dior (12), selipar Dior (30), beg Gucci (35) dan tali pinggang Gucci (16).

“Selain itu, sebanyak 48 pasang selipar jenama Gucci turut dirampas bersama topi Gucci (tujuh), kemeja-T Tommy Hilfiger (25) dan topi Tommy Hilfiger (lapan),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mogan berkata, menerusi serbuan berbeza yang dijalankan serentak ke atas sebuah rumah di Jelutong di sini, pihaknya merampas 336 botol minyak wangi 100 mililiter berjenama bernilai kira-kira RM5,376.

“Ia adalah 192 unit minyak wangi jenama Dior dan 144 unit minyak wangi Gucci yang disyaki menggunakan cap dagangan palsu,” ujarnya lagi.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2009 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 bagi setiap barangan atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-dua sekali bagi kesalahan pertama.

Mogan berkata, pihaknya memberi amaran kepada mana-mana pihak agar tidak menjual barangan tiruan kerana boleh dikenakan tindakan tegas selain meminta orang awam untuk bersama-sama membanteras kegiatan berkenaan. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan