PUTRAJAYA, 4 Ogos : Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan penubuhan Gerakan Tanah Air (GTA), yakni sebuah gabungan yang menurutnya bertujuan memperkasa kaum Melayu terutama dalam bidang ekonomi.
Katanya sebagai permulaan gabungan itu dianggotai oleh parti Pejuang, Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman), Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).
Beliau berkata gabungan di bawah pimpinannya itu terbuka kepada penyertaan badan bukan kerajaan (NGO), orang perseorangan, ahli akademik serta golongan profesional dalam kalangan kaum Melayu, dan pendaftaran GTA secara rasmi akan dibuat tidak lama lagi.
“Harap akan dapat sokongan daripada rakyat khususnya kaum Melayu, kerana mereka adalah orang Melayu yang curiga dengan masa depan mereka,” katanya dalam sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini.
“Kita harap RoS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan) bertimbang rasa pada kita.. kalau tidak diluluskan (pendaftaran), kita pilih nama lain,” kata Dr Mahathir yang juga Pengerusi GTA.
Dr Mahathir turut mengumumkan empat pemimpin GTA sebagai timbalan pengerusi iaitu Presiden Berjasa Zamani Ibrahim, Presiden Putra Datuk Ibrahim Ali, Presiden Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Presiden Iman Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak.
Timbalan Presiden Pejuang Datuk Marzuki Yahya pula dinamakan sebagai Ketua Setiausaha GTA.
Dr Mahathir berkata GTA akan meletakkan calon di 120 kawasan Parlimen di Semananjung Malaysia khususnya di kawasan yang mempunyai majoriti kaum Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). -TVS