BETONG, 4 Ogos : Bekalan minyak masak paket bersubsidi di sini dan Saratok dikesan tidak mengalami masalah kekurangan namun harganya ‘sedikit’ mahal berbanding kadar ditetapkan kerajaan.
Tinjauan TVS mendapati pengguna yang ditemui mengakui mereka masih boleh mendapatkan minyak masak di kedai berhampiran.
Zenah Abit berkata, harga jualan agak tinggi namun disebabkan tiada pilihan, dia terpaksa membeli pada kadar yang dijual oleh peniaga.
“Setakat ini agak senang untuk mendapatkan bekalan minyak masak paket sekilogram itu berbanding dahulu, sukar untuk beli.
“Bagaimanapun saya rasa disebabkan kampung ini agak jauh dari bandar, mungkin mereka (penjual) menjual dengan yang sedikit tinggi,”katanya kepada TVS.
Bagi Fatimah Abu Kassim dari Saratok pula, keberadaan minyak masak bersubsidi berkenaan di kawasannya diibaratkan pisang goreng panas apabila bekalannya tidak bertahan lama di pasaran.
“Sekiranya stok sampai pada waktu pagi, bekalan di rak akan habis menjelang tengah hari,”katanya.
Justeru Fatimah berharap agar pihak berkuasa khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melakukan pemantauan berterusan.
“Ini bagi memastikan bekalan masak bersubsidi sentiasa mencukupi,”katanya.
Ketika ini, minyak masak paket bersubsidi dijual seperti pada harga RM2.50 sekilogram.
Majoriti peniaga menghadkan pembelian bagi memastikan bekalan barangan itu tidak terputus.
Susulan penghapusan subsidi bagi minyak masak tulen dalam botol bermula 1 Julai lepas dan penetapan harga siling untuk sejak 1 Ogos lalu, pemintaan terhadap barang keperluan itu meningkat. -TVS