BETONG, 4 Ogos : Seorang wanita warga emas yang hilang di kawasan hutan di Melanjan, dekat sini sejak dua hari lalu dijumpai selamat di kawasan cerun bukit petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan, mangsa, Singar Dunggau, 75, berjaya dikesan oleh seekor anjing penyelamat yang digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Mangsa yang tinggal di Rumah Panjang Rokayah Wilson Dunggau Melanjan Spak Layar ditemui pada pukul 3.15 petang pada jarak kira – kira 300 meter dari Pos Kawalan Bomba,”jelas PGO menerusi kenyataan hari ini.
Ujar PGO, wanita itu ditemui dalam keadaan sedar namun lemah serta mengalami sedikit calar pada tubuhnya.
“Mangsa kemudiannya dibawa keluar dan diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Betong untuk rawatan susulan,”jelas PGO.
Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong, Penolong Penguasa Bomba Vincent Baling Yabi memberitahu, mangsa keluar dari kediamannya kira-kira pukul 1 petang, pada Selasa lepas.
“Wanita itu menuju ke Rumah Panjang Mara untuk melawat keluarganya yang kurang sihat namun tidak pulang ke rumah selepas itu,”katanya.
Susulan itu katanya, ahli keluarga membuat laporan kehilangan Singar.
Berikutan penemuan itu, operasi SAR ditamatkan pada pukul 4 petang tadi. – TVS