BIRMINGHAM, 3 Ogos : Atlet muda judo negara Amir Daniel Abdul Majeed, boleh tersenyum lebar pada penampilan sulung di temasya Sukan Komanwel apabila meraih pingat gangsa pada edisi Birmingham 2022 semalam.
Wakil negara berusia 18 tahun itu, meraih gangsa dalam kategori 73 kilogram (kg) lelaki di Arena Coventry di sini, selepas lawannya Dato Matsoukatov dari Cyprus dibatalkan penyertaan.
Terdahulu, dalam saingan 16 peserta terbaik, Amir Daniel mengetepikan cabaran peserta Samoa, William Tai Tin 10-0, namun di peringkat suku akhir, penuntut Kolej Matrikulasi Pulau Pinang itu terpaksa akur di tangan wakil Australia, Jake Bensted menerusi satu penalti.
Kekalahan di peringkat lapan atlet terbaik itu tidak mematahkan semangat Amir Daniel apabila bangkit menumpaskan Narciso Matos dari Mozambique pada saingan repechage, 10-0 untuk ke peringkat penentuan pingat gangsa menentang Matsoukatov.
Di peringkat penentuan gangsa itu, Amir Daniel diberikan kemenangan setelah lawannya dibatalkan penyertaan kerana melanggar peraturan pertandingan.
Jurulatih skuad judo negara Md Nashriq Md Nassir bangga dengan pencapaian Amir Daniel, dan menyifatkan segala usaha keras yang dilakukan anak didiknya itu membuahkan hasil.
“Kejayaan ini juga hasil usaha semua pihak yang terlibat demi memartabatkan sukan judo di Malaysia,” katanya bahawa pencapaian meraih gangsa itu adalah terbaik, selepas kali pertama skuad judo menyertai temasya berkenaan pada edisi 2014 di Glasgow.
Amir Daniel hadir ke Birmingham selepas meraih pingat gangsa di Sukan SEA Hanoi, Vietnam pada Mei lepas.
Pada edisi 2014, Malaysia diwakili tiga atlet dan hanya mampu bersaing pada peringkat awal sebelum tersingkir.-TVS