Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Kerajaan Johor ambil langkah segera atasi banjir kilat di Johor Bahru

ByBernama

JOHOR BAHRU, 2 Ogos: Kerajaan Johor akan mengambil langkah segera dan sesuai bagi mengatasi kejadian banjir kilat di bandar raya ini, kata Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Menurutnya kejadian banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di bandar raya ini sejak tengah hari tadi, adalah disebabkan purata taburan hujan yang tinggi iaitu mencecah ke paras 100 milimeter (mm) berbanding kebiasaan iaitu sekitar 20 mm.

Beliau yang turun padang bagi meninjau kawasan terjejas banjir antaranya di Jalan Ayer Molek dan Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, berkata banjir kilat itu antaranya diburukkan lagi dengan kejadian air pasang.

“Banjir disebabkan oleh air hujan meningkat secara mendadak, saya dimaklumkan bahawa dalam tempoh satu jam (hujan) turun dalam 10 hingga 20 mm, tetapi (kali ini) naik dalam 100mm.

“Itu tahap bahaya (menyebabkan) banjir kilat berlaku dalam masa satu jam…bukan sahaja di kawasan bandar raya Johor Bahru tetapi juga HSA, ditambah lagi dengan air pasang, jadi hujan turun lebat dan air tidak dapat keluar,” katanya pada sidang media selepas meninjau kawasan terjejas banjir kilat di Jalan Ayer Molek, di sini hari ini.

Onn Hafiz berkata susulan itu beliau telah meminta pihak berkuasa tempatan dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya Pengangkutan dan Infrastruktur negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh untuk mengambil tindakan segera dalam menangani masalah itu.

Beliau berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga diarah untuk melakukan kerja-kerja pengepaman bagi menyalurkan air keluar dari kawasan terjejas.

“JPS juga akan menambah baik lagi sistem pengepaman ini untuk menampung kapasiti air yang lebih tinggi,” katanya.

Hujan lebat selama dua jam sejak 12.30 tengah hari tadi, telah menyebabkan beberapa jalan utama di bandar raya ini dinaiki air antaranya Jalan Ayer Molek, Jalan Wong Ah Fook, Jalan Tun Abdul Razak, Jalan Kolam Air dan Jalan Yahya Awal.

Lebih 500 kenderaan terjejas antaranya yang diletakkan di kawasan parkir kenderaan awam, HSA, serta Kampung Baru Mohd Amin. Namun, sehingga kini tiada Pusat Pemindahan Sementara dibuka. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan