KUCHING, 2 Ogos : Kawasan Heart of Borneo (HoB) yang berkeluasan 2.7 juta hektar berpotensi untuk dimanfaatkan sebagai sumber pengeluaran dan penyimpanan karbon di Sarawak.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datu Len Talif Salleh berkata, hasrat itu dapat dijayakan berikutan rang undang-undang dan pindaan baru -baru ini bakal melindungi kawasan yang telah diwartakan itu.
Sehubungan itu beliau menggesa pihak berkepentingan supaya menekankan kajian mengenai mekanisme penyimpanan dan perdagangan karbon di HoB sekaligus mengukuhkan pengurusan hutan di negeri ini.
“Di Heart of Borneo, saya rasa lebih daripada 80 peratus kawasannya dilitupi hutan.
“Ini akan memainkan peranan yang mustahak dalam penyimpanan karbon,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Seminar Ekspedisi Saintifik Hutan Simpan Gunung Pueh di sini hari ini.
Beliau berkata, HoB akan mendapat manfaat khususnya aspek pemantauan susulan pindaan Kanun Tanah Negeri dan Ordinan Hutan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak baru-baru ini.
“Usaha itu sejajar dengan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Tanah 2022 yang bakal meneroka aktiviti karbon di negeri ini bagi meningkatkan pendapatan melalui dasar ekonomi hijau,”katanya.
Pada masa sama, beliau memberitahu, penerokaan karbon juga dapat meminimumkan aktiviti pembalakan hutan dan menggalakkan penanaman semula hutan.
Berhubung seminar itu, ianya dihadiri 200 orang peserta dari dalam dan luar Sarawak antara lain membincangkan data yang diperoleh daripada ekspedisi saintifik yang dijalankan Jabatan Hutan Sarawak di Gunung Pueh pada 2020.-TVS