MIRI, 1 Ogos: Polis mengesahkan objek yang ditemui seorang penduduk di Sepupok, Batu Niah kira-kira 72 kilometer dari sini disahkan serpihan logam yang disyaki sebahagian komponen roket Long March 5B milik China.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner, Alexson Naga Chabu berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan itu pada pukul 5.30 petang semalam (Ahad).
“Hasil tinjauan awal pihak polis mendapati terdapat serpihan logam terbenam ke dalam tanah pada kedalaman lebih kurang 1 meter di kawasan sekitar rumah salah seorang penduduk di lokasi kejadian berkenaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Walau bagaimanapun, katanya pihak polis tidak dapat mengesahkan asal usul logam tersebut dan telah meminta bantuan dari Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pihak Mosti untuk menganalisa tempat kejadian.
“Pihak polis menasihati orang ramai agar tidak berada di kawasan berhampiran tempat kejadian kerana bimbang logam tersebut mengandungi bahan radioaktif yang boleh memudaratkan kesihatan,” tambahnya.
Menurutnya, kawasan kejadian telah dipantau dengan rapi untuk memastikan tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.
Katanya lagi, orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita yang tidak benar kerana ianya boleh menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.
Alexson juga meminta orang ramai agar menghubungi balai polis berdekatan untuk menyalurkan maklumat atau mendapatkan kepastian mengenai insiden berkaitan.
Terdahalu Agensi Angkasa Malaysia dalam satu kenyataan semalam memaklumkan agar orang ramai tidak mengusik, merosakkan atau memusnahkan objek yang disyaki daripada serpihan roket Long March 5B milik China yang memasuki ruang udara Sarawak sejak awal pagi semalam (31 julai). – TVS