Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Aksi atlet angkat berat negara Muhammad Erry Hidayat dalam acara angkat berat kategori 73 kg pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Dewan NEC 1 pada Ahad. Muhammad Erry Hidayat meraih pingat perak selepas mengumpul mata keseluruhan 303kg. Foto: Bernama

Kem angkat berat terus cemerlang, Muhammad Erry sumbang perak

ByBernama

BIRMINGHAM, 1 Ogos: Skuad angkat berat negara terus cemerlang pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 apabila menyumbangkan sebutir perak di Pusat Pameran Nasional (NEC) Birmingham di sini hari ini.

Selepas kejayaan merangkul dua pingat emas dalam acara berkenaan semalam, kini tiba giliran Muhammad Erry Hidayat menaiki podium dalam kategori 73 kilogram (kg) lelaki di belakang atlet India Achinta Sheuli.

Atlet negara berusia 22 tahun itu, sebelum itu mencuba untuk mencabar kedudukan pingat emas, namun tidak berjaya mengangkat bebanan 176kg di percubaan terakhir dalam kategori clean & Jerk.

Anak kepada bekas jaguh angkat berat negara, Hidayat Hamidon, itu terpaksa berpuas hati melakukan angkatan bebanan keseluruhan 303kg  selepas merekodkan angkatan snatch 138kg dan 165kg bagi clean & jerk.

Peserta India itu pula merekodkan angkatan bebanan keseluruhan 313kg, yang juga rekod baharu temasya, setelah melakukan 143kg (snatch) dan 170kg (clean &j jerk) manakala pingat gangsa milik atlet Kanada, Shad Darsigny, dengan angkatan keseluruhan 298kg (snatch 135kg, clean & jerk 163kg).

Ketika ditemui selepas saingan tersebut, Muhammad Erry pada mulanya kelihatan tenang menjawab pertanyaan pemberita, namun tidak dapat menahan kesedihan sebaik diajukan soalan mengenai janji kepada bapanya pada temasya sukan kali ini.

“Saya minta maaf kepada ayah sebab saya janji pada ayah akan dapatkan emas di sini, tapi dapat perak…maafkan saya ayah, dan semua peminat angkat berat di Malaysia, serta jurulatih yang membimbing saya sejak dari kecil,” katanya.

Hidayat, bapa Muhammad Erry, adalah pemenang pingat emas acara angkat berat pada Sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Muhammad Erry yang belum cergas sepenuhnya setelah menghidap demam denggi dua minggu lepas, berkata, beliau tetap berbangga meraih perak, sekali gus mengatasi pencapaiannya pada edisi 2018 di Gold Coast, Australia apabila menduduki tempat kelima.

Beliau berharap kejayaan kem angkat berat negara di temasya kali ini mendapat perhatian Majlis Sukan Negara (MSN) agar angkat berat disenaraikan semula sebagai sukan teras kebangsaan.

Angkat berat menjadi antara tiga sukan digugurkan daripada senarai sukan teras negara selain sepak takraw dan taekwondo pada 2017, susulan prestasi sukan angkat berat yang semakin merosot serta pelbagai masalah disiplin seperti kegagalan beberapa atletnya dalam ujian doping. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan