KOTA KINABALU, 31 Julai : UMNO Sabah belum memutuskan jumlah kerusi Parlimen yang ingin ditandingi mereka dan parti – parti komponen lain dalam Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.
Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Yakubah Khan berkata, UMNO dan BN masih berbincang dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengenai pembahagian kerusi.
Katanya, ini bagi mengelakkan berlakunya pertembungan sesama sendiri pada PRU15.
“Perbincangan BN dan GRS masih berjalan dan keputusan pembahagian kerusi akan diumum tidak lama lagi,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Penutup Bayu Hackathon di sini hari ini.
Yakubah berkata, di pihak UMNO dan BN, beliau menyerahkan keputusan kepada Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Ketika ini, BN menerusi UMNO memiliki dua kerusi iaitu masing – masing bagi Parlimen Kinabatangan yang disandang Bung dan kerusi Kimanis menerusi Datuk Mohamad Alamin. -TVS