Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengaminkan doa selepas menunaikan solat hajat ketika berkenan hadir pada Sambutan Ma'al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1444H dan Majlis Bacaan Yasin Hari Pahlawan Tahun 2022 di Masjid Wilayah Persekutuan semalam. Turut hadir, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Foto: Bernama.

Majlis bacaan doa buka tirai tahun baharu Islam 1444H

ByBernama

KUALA LUMPUR, 30 Julai : Majlis bacaan doa membuka tirai tahun baharu Islam 1444 Hijrah sebagai tanda kesyukuran serta menghayati peristiwa penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah yang menjadi titik sejarah penting tamadun Islam.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke majlis sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1444H/2011M dan majlis bacaan Yasin sempena Hari Pahlawan di Masjid Wilayah Persekutuan di sini yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Majlis itu dimulakan dengan bacaan Yasin dan doa selamat diikuti bacaan doa akhir dan awal tahun dipimpin Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni.

Majlis diteruskan dengan solat fardhu maghrib dan solat hajat.

Baca > > > Kiswah Kaabah diganti malam ini, pembuka tirai tahun baru Islam 1444 Hijrah

Di KELANTAN, Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faiz Petra berkenan berangkat ke majlis sambutan Hijratul Rasul peringkat negeri Kelantan di Masjid Al-Sultan Ismail Petra dekat Kubang Kerian.

Pada majlis tersebut, baginda turut berkenan menganugerahkan Tokoh Hijratul Rasul kepada bekas pensyarah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) Kelantan Dr Mohd Zain Mahmood.

Di NEGERI SEMBILAN, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir berkenan merasmikan sambutan Maal Hijrah peringkat negeri di Masjid Negeri yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Di SELANGOR, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menerusi Facebook rasmi Selangor Royal Office bertitah supaya umat Islam memperbaharui azam untuk menjadi lebih kreatif dan berinovasi dalam menghadapi dunia yang kian mencabar.

“Mengambil semangat dari pertukaran tahun baharu ini merupakan peluang yang terbaik menanamkan semangat untuk berubah serta memperbaiki diri atau keadaan kita kepada yang lebih baik, sama ada sebagai individu, keluarga, jabatan, masyarakat mahupun negara,” titah baginda.

Di JOHOR, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menerusi hantaran di Facebook rasmi baginda menyeru umat Islam menyambut tahun baharu Hijrah dengan penuh keimanan dan ketakwaan.

“Marilah kita menyambut tahun baharu ini dengan penuh keimanan dan ketakwaan agar seluruh masyarakat Islam di negeri Johor ini terus diberkati Allah SWT dan hidup dalam keadaan harmoni dan sihat sejahtera,” titah baginda. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan