KUCHING, 30 Julai : Konsert I Want To Break Free! Queen Tribute yang diadakan khas untuk kumpulan rock legenda terkenal antarabangsa, Queen berlangsung meriah di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) di sini malam ini.
Penyanyi yang tampil membuat persembahan berjaya ‘menghidupkan semula’ aura yang pernah dibawa oleh penyanyi kumpulan itu, Freddie Mercury.
Paling mencuri tumpuan ialah kehadiran Alfred Ayal, dari Indonesia yang memukau penonton apabila menampilkan gaya persis mendiang Freddie.
Alfred mengenakan jaket kulit berwarna kuning ketika menyampaikan lagu seleksi lagu popular kumpulan itu antaranya, I Want To Break Free dan We Are The Champion.
Selain itu penonton juga turut terpaku dengan persembahan oleh pemuzik profesional, Alif Putera dan Killer Queen.
Tidak ketinggalan, artis tempatan Sarawak seperti Dewi Seriestha dan Mathew Ngau turut menggegarkan pentas konsert yang mempersembahan 24 buah lagu itu.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan negeri, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah antara tetamu kenamaan yang turut hadir menyaksikan konsert ini. -TVS