SEPANG, 30 Julai : Tanpa kelibat kuasa besar China yang sering mendominasi kolam terjun, Australia, Kanada dan England menjadi ancaman kepada penerjun negara dalam usaha menjelmakan kilauan pingat pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 di England.
Ratu terjun negara Dato Pandelela Rinong Pamg berkata kehadiran atlet dari ketiga-tiga negara itu perlu diberi perhatian kerana mereka mampu memberikan cabaran hebat dalam pemburuan pingat pada saingan di Pusat Akuatik Sandwell, Birmingham bermula 4 Ogos ini.
“Fokus saya ketika ini adalah untuk memastikan diri sendiri dan pasukan mampu memberikan yang terbaik kerana masih ada negara (Australia, Kanada dan England) yang akan memberi cabaran walaupun ketiadaan atlet China,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini malam tadi.
Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 dan gangsa Sukan Olimpik London 2012 itu berkata pencapaian diraihnya di Kejohanan Dunia di Budapest, Hungary bulan lepas sedikit sebanyak memberi motivasi dan keyakinan untuk terus mempersembahkan terjunan terbaiknya.
Pada kejohanan dunia itu, Pandelela berjaya mengatasi pencabar dari negara Komanwel menerusi dua gangsa yang dimenangi masing-masing dalam acara 10 meter (m) platform individu dan 10m platform seirama bersama pasangan Nur Dhabitah Sabri.
Di Budapest, Pandelela terpaksa akur dengan kehebatan dua penerjun muda China yang meraih emas dan perak dalam 10m platform individu sementara dalam 10m platform seirama emas turut dimenangi pasangan China dan perak menjadi milik gandingan Amerika Syarikat.
Namun, pasangan Kanada Caeli McKay-Meaghan Benfeito yang memenangi emas 10m platform seirama Terjun Piala Dunia 2021 dan menduduki tempat keempat di Sukan Olimpik Tokyo 2020 tidak mengambil bahagian di Budapest.
“Bagi saya Sukan Komanwel bukan calang-calang pertandingan sebab penerjunnya pun dah lain berbanding semasa di Kejohanan Dunia tempoh hari. Berdasarkan pengalaman saya sepanjang bergelar penerjun, apa pun boleh terjadi, saya harap tuah di pihak saya dan pasukan terjun Malaysia,” katanya.
Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menetapkan sukan terjun sebagai satu daripada prospek penyumbang emas di Birmingham selain badminton, boling padang, powerlifting, gimnastik berirama dan angkat berat.
Sukan Komanwel Birmingham yang bermula secara rasmi Khamis lepas akan berlangsung hingga 8 Ogos ini dengan kira-kira 6,500 atlet dari 72 negara dan wilayah dijangka mengambil bahagian pada edisi kali ini.
Kontinjen negara diwakili 161 individu membabitkan 104 atlet, 44 pegawai dan 13 petugas. – TVS