KUCHING, 30 Julai : Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang menghadiri Karnival Segi Exhibition 2022 hari ini didedahkan dengan pelbagai maklumat mengenai program pengajian yang ditawarkan oleh Kolej Segi Sarawak.
Wakil penganjur, Wallace Wong berkata, antara kos ditawarkan yang mendapat sambutan termasuklah Komunikasi, Undang – Undang, Perniagaan, Hospitaliti dan Pelancongan, Pendidikan dan Sains Sosial.
Katanya, ini merupakan kali pertama Kolej Segi Sarawak menganjurkan ekspo seumpama itu sejak dilanda pandemik COVID-19 lebih dua tahun lalu.
“Karnival yang berlangsung di AEON Mall Kuching ini turut mendapat kerjasama rakan strategik industri seperti Sarawak Media Group (SMG) dan Borneo Medical Centre (BMC),” katanya kepada TVS di sini hari ini.
Sempena karnival itu juga, pelbagai aktiviti menarik turut dilangsungkan termasuklah debat undang-undang, derma darah, aktiviti mewarna kanak-kanak dan melukis wajah.
Selain itu terdapat 18 gerai pameran dibuka antaranya oleh Persatuan Autistik Kuching, Gim Saucery, Sugar and Berries, Tadika Anakku Pintar, Zeed Zeeda Management dan lain – lain lagi.
Sementara itu, seorang pelajar program Diploma Komunikasi Massa, Arthur Xavier berkata, dia ingin bekerja dengan syarikat produksi selepas bergraduasi kelak.
“Ini kerana bidang pengajian yang saya ikuti di Kolej Segi memberi pendedahan tentang multimedia dan produksi yang sangat cocok dengan keperluan industri kreatif,”katanya. -TVS