BEKENU, 29 Julai : Kebakaran sebuah rumah di Kampung Padang Kelulit, di sini lewat malam tadi menyebabkan 10 penghuni hilang tempat tinggal.
Mereka terdiri daripada lapan orang dewasa, seorang kanak-kanak dan seorang bayi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah, Pegawai Bomba Tinggi (PBT II), Rary Binjie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.42 malam tadi memaklumkan mengenai kebakaran itu.
“Setibanya di lokasi kejadian pada pukul 12.10 tengah malam, Bomba mendapati api sedang marak membakar rumah jenis separuh kekal itu.
“Ketika itu dianggarkan sebanyak 70 peratus struktur rumah berkenaan telah terbakar,”katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Katanya, anggota bomba melakukan pemadaman menggunakan salur bantu mula dengan sumber air diperolehi daripada kolam berhampiran.
“Pemilik rumah serta ahli keluarga sempat menyelamatkan diri dengan segera keluar dari rumah selepas menyedari api telah marak di tingkat atas,”katanya.
Beliau memberitahu, api berjaya dikawal pada pukul 12.30 tengah malam. -TVS