KUCHING, 28 Julai : Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bruit muncul sebagai Naib Johan Peringkat Kebangsaan pada Pertandingan Inovasi KStream 2022 baru – baru ini.
Bertambah manis, sekolah yang terletak di kawasan luar bandar itu turut berjaya meraih anugerah khas juri pada pertandingan berkenaan.
Dua guru yang mewakili sekolah itu, Matusup Yaakub dan Mohd. Hariz Hazwan Wahab memikat hati juri dengan mengetengahkan inovasi S Cargo yang boleh memanfaatkan murid- murid yang sekian lama dibelenggu isu beg sekolah berat.
Matusup dan Mohd Hariz Hazwan berkata, projek inovasi mereka berupaya menjadi penyelesaian kepada masalah beg berat yang dihadapi murid sekolah.
“S Cargo ini berfungsi untuk menyelesaikan masalah beban berat terutamanya beg sekolah yang dialami oleh semua pelajar di Malaysia ketika ini,” katanya.
Mereka berkata, pihak sekolah turut berbangga dengan kejayaan itu dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat merealisasikan ciptaan itu.
“Kami tidak sangka akan mendapat tempat dalam pertandingan tersebut,” katanya ketika ditemu bual TVS.

Sementara itu, Muhammad Uwais Al-Qarni Jumaat selaku wakil pelajar turut berkongsi kegembiraan mengharumkan nama sekolah.
“Kami amat gembira kerana menerima anugerah ini dan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kejayaan kami,” katanya.
Pertandingan inovasi Kstream Kebangsaan tahun ini berlangsung di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Mizan, Terengganu bermula pada 25 Julai sehingga semalam dan disertai oleh seramai 121 peserta dari seluruh negara. -TVS