Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kerajaan akan memberikan semula pengecualian bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada siswazah Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama, yang menamatkan pengajian mereka bermula  dari 2019.

Siswazah Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama dapat pengecualian bayar balik pinjaman PTPTN – PM

ByBernama

KUALA LUMPUR, 28 Julai : Kerajaan akan memberikan semula pengecualian bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada siswazah Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama, yang menamatkan pengajian mereka bermula  dari 2019.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keistimewaan itu akan diberikan kepada siswazah yang layak tanpa mengira status ekonomi, bangsa dan agama.

Justeru itu, beliau berharap PTPTN dapat berbincang dengan Kementerian Kewangan berkenaan perkara itu dari segi peruntukan yang terlibat.

“Ini sebagai dorongan kepada anak-anak Keluarga Malaysia untuk belajar bersungguh-sungguh dan mendapatkan kelulusan yang terbaik dalam pengajian mereka,” katanya.

Beliau membuat pengumuman itu ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN di Pusat Pameran dan Konvensyen Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) (MECC) di sini hari semalam.

Sementara itu, Ismail Sabri  menasihati peminjam yang belum melunaskan bayaran balik pinjaman PTPTN agar berbuat demikian supaya proses pinjaman kepada peminjam lain seterusnya tidak tertangguh.

“Suka saya tekankan di sini bahawa tindakan membayar balik pinjaman pendidikan amat mustahak bagi menjamin kesinambungan dana kepada pelajar – pelajar baharu yang juga waris masa hadapan negara,” katanya.

Perdana Menteri berkata  sehingga akhir bulan lepas, lebih dua juta atau 82.04 peratus peminjam telah membayar balik pinjaman dengan jumlah kutipan sebanyak RM17.8 bilion.

“Terima kasih saya ucapkan kepada para peminjam yang komited membuat bayaran balik,” katanya.

Beliau berkata pada usia yang menjangkau 25 tahun, PTPTN kini menjadi sebuah agensi tabung pendidikan tinggi utama negara yang komited dalam memikul mandatnya dengan seramai 3.67 juta Keluarga Malaysia telah dibantu bagi meneruskan pengajian dengan keseluruhan pinjaman berjumlah RM66.87 bilion sehingga kini.

Katanya beliau percaya ramai yang telah menamatkan pengajian memperolehi pekerjaan yang baik dan menaikkan taraf kehidupan sekali gus menjadi modal insan penting negara.

Ismai Sabri berkata  kerajaan melalui PTPTN telah menyediakan peruntukan lebih RM3 bilion setahun bagi membiayai pinjaman pendidikan kepada purata lebih 180,000 pelajar baharu yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga mewujudkan inisiatif Simpan SSPN (Skim Simpanan Pendidikan Nasional)  bagi memastikan Keluarga Malaysia mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman susulan kebimbangan tentang kebergantungan rakyat terhadap pinjaman.

“Simpan SSPN telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dengan keseluruhan deposit simpanan berjumlah RM12.5 bilion dengan bilangan akaun sebanyak 5.4 juta sehingga akhir bulan lepas,” katanya.

Selain itu, beliau berkata PTPTN perlu meningkatkan kerjasama dengan kerajaan negeri dalam usaha meningkatkan kutipan bayaran balik pinjaman seperti yang diadakan dengan Sarawak yang berjaya memperoleh lebih RM30 juta menerusi inisaitif ini.

Perdana Menteri juga merakamkan ucapan terima kasih kepada komitmen dan usaha yang dicurahkan PTPTN sejak 1997 dalam memastikan tiada yang tercicir untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Antara usaha PTPTN adalah pelancaran aplikasi my-PTPTN; pelancaran Kelab Simpanan Pendidikan untuk meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan kanak-kanak dan kerjasama PTPTN dengan kerajaan negeri untuk memberikan insentif berupa akaun Simpan SSPN kepada kanak-kanak yang baru dilahirkan.

Turut hadir pada majlis itu, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Timbalan Menteri Pendidikan II Datuk Mohamad Alamin.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan