KUALA LUMPUR, 28 Julai : Kementerian Kesihatan (KKM) mengalu-alukan sebarang permohonan untuk menjalankan percubaan klinikal ke atas keluaran mengandungi ekstrak kanabis bagi apa-apa tujuan perubatan di Malaysia.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata setakat ini tiada sebarang percubaan klinikal ke atas apa-apa keluaran mengandungi ekstrak kanabis bagi tujuan perubatan sedang dijalankan di negara ini.
“Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Jualan Dadah 1952 memang telah sedia membenarkan keluaran ekstrak kanabis dibekal, diimport, dijual, diguna bagi tujuan perubatan, penyelidikan, atau percubaan klinikal bagi tujuan perubatan tertakluk pada pematuhan dan keperluan akta tersebut,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) yang meminta KKM menyatakan status perkembangan terkini kebenaran dan penggunaan kanabis perubatan di Malaysia.
Menjelas lanjut, Dr Azmi berkata mana-mana syarikat yang mempunyai bukti saintifik mencukupi keberkesanan produk mengandungi ekstrak kanabis bagi tujuan perubatan boleh mengemukakan permohonan pendaftaran produk itu kepada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) KKM.
Malah, katanya syarikat yang mempunyai produk kanabis untuk perubatan yang telah diluluskan di luar negara, boleh mendaftarkan produk mereka untuk dipasarkan di negara ini.
“KKM tidak menolak kajian terhadap keberkesanan kanabis perubatan, telah tiba masanya kita mengikut langkah 40 negara yang telah menggunakannya untuk merawat penyakit termasuk kanser, depresi dan epilepsi, KKM sedia melihat perkara baharu ini,” katanya.
Sementara itu, bagi cadangan membezakan antara kanabis, kanabis perubatan dan hemp dari aspek perundangan, perkara ini adalah bergantung kepada hasil dapatan Jawatankuasa Induk Pembangunan Industri Kanabis Dan Ketum Bagi Tujuan Perubatan yang ditubuhkan oleh KKM.
“Jawatankuasa ini bertanggungjawab untuk mengkaji serta merangka hala tuju pembangunan industri kanabis dan ketum bagi tujuan perubatan.
“Oleh itu, keperluan untuk meminda Akta Dadah Berbahaya 1952 berhubung kawalan kanabis dan hemp termasuklah mewujudkan tafsiran berbeza bagi kanabis dan hemp adalah bergantung kepada keputusan Jemaah Menteri terhadap hasil dapatan jawatankuasa ini kelak dengan mengambil kira aspek perundangan, sosiobudaya, kesihatan, ekonomi, hukum syarak dan sebagainya,” katanya. – TVS