BANGI, 26 Julai : Pasangan suami isteri masing-masing didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Bandar Baru Bangi di sini hari ini kerana mendera anak angkat mereka berumur empat tahun.
Hakim Effandi Nazila Abdullah menjatuhkan hukuman itu ke atas peniaga, Amira Hamzah, 28, dan suaminya Muhammad Fitri Jasmani Josmani, 30, warga Singapura selepas mereka mengaku bersalah menganiaya kanak-kanak perempuan itu sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di kediaman mereka di Eco Majestic, Semenyih pada 1.25 tengah hari, antara April dan 18 Julai 2022.
Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.
Mahkamah turut memerintahkan pasangan itu dipenjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abdul Hamid manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, kedua-dua tertuduh merayu hukuman denda minimum atas alasan mereka tiada niat untuk mendera mangsa, sebaliknya bimbang dengan kesihatan anak angkat mereka.
“Kami tiada niat untuk mendera, sebenarnya kami cuma hendak pastikan dia makan dan tidak kurang zat dalam badan,” kata Muhammad Fitri.
Hakim Amir memohon hukuman penjara dan denda atas alasan tindakan tertuduh bukannya untuk mendidik tetapi ia dianggap zalim dan tidak adil selain mereka tidak amanah serta tidak bertanggungjawab dalam menjaga mangsa.
“Kecederaan mangsa bukan satu tempat sahaja tetapi satu badan. Ini boleh menyebabkan kanak-kanak itu trauma seumur hidup dan dia sepatutnya diberi perhatian dan kasih sayang,” katanya.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, seorang pengadu yang juga pekerja kepada Amira melihat majikannya itu memukul kanak-kanak berkenaan menggunakan penyangkut baju dan batang kayu penyapu.
Pengadu memaklumkan kejadian itu kepada ibu mentua Amira, namun tidak diendahkan sebaliknya dia dimarahi oleh wanita itu.
Hasil siasatan polis mendapati, mangsa dipukul oleh Amira yang dipanggil ‘mummy’ pada anggota badan dan dua doktor di Hospital Kajang mengesahkan kecederaan dialami kanak-kanak itu selari dengan laporan polis dibuat pengadu.
Di mahkamah sama, Muhammad Fitri didenda maksimum RM10,000 atau penjara enam bulan selepas mengaku bersalah tinggal lebih tempoh yang dibenarkan di Malaysia.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tempat sama pada 2.30 pagi, 22 Julai lepas, mengikut Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (4) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.
Baru-baru ini, tular video di media sosial yang memaparkan seorang wanita memukul anak angkatnya berusia empat tahun dengan menggunakan batang kayu penyapu kerana enggan makan nasi di sebuah rumah. –TVS