UBON RATCHATHANI (Thailand), 27 Julai : Kontinjen Malaysia ke Sukan Universiti Asean (AUG) 2022 berdepan tugas mencabar bagi mengulangi pencapaian 37 pingat emas empat tahun lepas apabila temasya edisi ke-20 membuka tirai secara rasmi esok.
Sebanyak 275 atlet universiti negara menyertai 19 daripada 23 jenis sukan pada temasya berkenaan kini turun dengan misi merealisasikan sasaran awal iaitu 35 pingat emas ditetapkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Sasaran itu diletakkan berikutan beberapa atlet pernah beraksi di peringkat tertinggi selain mampu dijadikan prospek pingat emas terpaksa dilepaskan bagi memberi tumpuan kepada Sukan Komanwel Birmingham 2022 serta Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2022 di Melaka yang berlangsung serentak.
Kontinjen negara dalam masa sama perlu berdepan cabaran atlet tuan rumah, Thailand yang pastinya mahu memanfaatkan kesempatan beraksi di laman sendiri selepas temasya itu ditangguh sejak Dis 2020 berikutan dunia dilanda pandemik COVID-19.
Tambahan pula, hampir pasti negara Gajah Putih itu mahu mempertahankan gelaran juara keseluruhan pada temasya edisi 2018 di Nay Pyi Taw, Myanmar.
Di sebalik keadaan itu, ia bagaimanapun tidak mustahil buat kontinjen negara menepati sasaran tersebut apabila kelibat beberapa atlet berprestasi tinggi masih kelihatan.
Nama atlet berpengalaman seperti Welson Sim bagi acara renang, Grace Wong acara baling tukul besi, Nurul Hidayah Abdul Karim (taekwondo), C. Shahmalarani (karate) serta Azreen Nabila Alias (olahraga) menjadi sandaran kontinjen negara di temasya itu.
Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke AUG Prof Dr Mohd Fo’ad Sakdan sebelum ini mengakui cabaran sengit bakal ditempuhi atlet negara dalam merealisasikan sasaran itu.
Beliau bagaimanapun meletakkan harapan tinggi supaya satu persatu pingat emas dapat diraih dari hari pertama selain pencapaian terbaik secara keseluruhan dapat diperbaiki semasa temasya itu berlangsung.
Pada AUG 2018, Malaysia menduduki tempat ketiga keseluruhan meraih 37 pingat emas di belakang Thailand (62) dan Indonesia (44).
Lebih 5,000 atlet dari 11 negara Asia Tenggara iaitu Malaysia, Indonesia, Vietnam, Laos, Myanmar, Timor Leste, Thailand, Filipina, Kemboja, Singapura dan Brunei menyertai AUG ke-20. –TVS