TAWAU, 24 Julai : Empat pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan oleh Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2) di Kampung Batu Payung, di sini ketika cuba masuk ke negara ini awal pagi tadi.
Kesemua PATI dari Indonesia itu yang berusia 18 hingga 24 tahun itu ditahan hasil maklumat disalurkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, anggota JKKK memaklumkan melihat empat lelaki dewasa tidak dikenali dalam keadaan mencurigakan di kampung mereka pada pukul 2.45 pagi.
“Bertindak atas maklumat itu, Pasukan Tindakan Respon Pantas (QRF) melaksanakan rondaan dan berjaya mengesan kesemua suspek yang sedang bersembunyi di kawasan kilang batu di kampung itu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau memberitahu, pemeriksaan mendapati kesemua suspek tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
“Mereka juga tidak memiliki permit kerja dan tiada cop pengesahan kebenaran untuk masuk ke Sabah.
“Kumpulan itu mengaku mereka berasal dari Indonesia dan masuk ke Sabah kerana ingin mencari pekerjaan,”katanya.
Kesemua PATI itu diserahkan kepada polis untuk siasatan dan tindakan lanjut di bawah Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63. – TVS