KUCHING, 23 Julai : Kegiatan penagihan dadah melibatkan anak muda di Puncak Borneo didakwa semakin membimbangkan, kata Ahli Parlimennya, Datuk Willie Mongin.
Tanpa berkongsi statistik, Willie Mongin berkata, beliau berharap agar golongan beliau di kawasan itu menjauhkan diri daripada aktiviti berkenaan.
“Masalah penyalahgunaan dadah boleh merosakkan masa depan anak muda.
“Ini juga boleh menjejaskan kawasan ini,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ulang Tahun Keenam Padawan 4×4 Adventure Club dan penutup Gawai di Kampung Emperoh Gerung malam tadi.
Sehubungan itu, beliau yang juga Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi berharap agar ibu bapa dapat memainkan peranan bagi memastikan anak – anak mereka tidak terjeremus dalam kegiatan tidak bermoral itu.
Sementara itu, Willie turut menyeru golongan muda di kawasan berkenaan untuk berdaftar sebagai ahli kelab berkenaan.
Ujar beliau, sejak ditubuhkan, kelab berkenaan aktif menganjurkan aktiviti sukan permotoran pacuan empat roda dan juga program kebajikan.
“Semasa dua tahun ketika dilanda pandemik, ahli-ahli kelab turut membantu pengagihan bantuan makanan kepada golongan terjejas selain membantu mangsa kebakaran dan banjir di kawasan ini,” katanya.
Pada majlis yang sama, beliau turut memaklumkan mengenai pembinaan trek untuk aktiviti perlumbaan kenderaan pacuan empat roda di Skunduk, Kampung Semadang di Padawan yang sedang berjalan. -TVS