Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Sebahagian daripada arca jerami padi yang dipamerkan pada Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang 4.0 di Kampung Terus, Penanti di Bukit Mertajam hari ini. Foto: TVS.

1,000 kg jerami padi diguna untuk hasilkan arca kerbau

BUKIT MERTAJAM, 23 Julai : Hasil seni arca jerami padi berupa seekor kerbau yang ditunggang seorang kanak-kanak menarik perhatian pengunjung pada Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang 4.0 di Kampung Terus, Penanti di sini.

Arca bertajuk Anak Sawah yang dihasilkan pasukan O Sculpture Studio dari Pulau Pinang itu merupakan antara 17 pasukan yang mengambil bahagian dalam Pertandingan Arca Jerami Padi 1.0 sempena festival itu.

Ketua pasukan, Low Chee Peng berkata, sebanyak 1,000 kilogram (kg) jerami padi diperlukan bagi menghasilkan arca setinggi 4.8 meter (m) dan sepanjang 10.7 m tersebut.

“Prosesnya bermula dengan membina rangka daripada buluh dan jaring besi sebelum jerami padi disulam dengan penuh kesabaran pada rangka tersebut.

“Kami sepasukan lima orang bekerja 12 jam sehari selama empat minggu bagi menghasilkan arca ini dalam keadaan cuaca tidak menentu terutamanya panas terik,” katanya kepada TVS hari ini.

Tambah beliau, arca yang berada dalam senarai Top 4 berkenaan adalah mengenai seorang anak petani yang menunggang seekor kerbau dengan bahagian bawah badannya kelihatan seperti berada di dalam lumpur.

“Kerbau melambangkan budaya bertani pada masa lampau yang menunjukkan masa lalu, tanah ini dan kehidupan petani.

“Anak-anak yang menunggang kerbau bercerita tentang warisan dan kasih sayang keluarga secara turun temurun serta kita bersyukur dengan kemakmuran yang dikecapi hari ini,” katanya lagi.

Sebahagian daripada arca jerami padi yang dipamerkan pada Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang 4.0 di Kampung Terus, Penanti di Bukit Mertajam hari ini. Foto: TVS.

Chee Peng menambah, biarpun berpengalaman selama 30 tahun menghasilkan arca, beliau berdepan beberapa cabaran kerana pertama kali menggunakan material berkenaan sebagai bahan utama binaan.

“Selain mengambil masa lebih lama, jerami padi sangat lembut dan tidak mudah tahan lama jika berada di luar.

“Biasanya saya menghasilkan arca daripada marmar, tetapi perlu berhati-hati dengan jerami padi kerana mudah membuatkan tangan menjadi gatal-gatal,” katanya yang turut menghasilkan arca dasar laut di Pulau Pasir di Langkawi, Kedah.

Tiga lagi arca jerami padi yang berada dalam senarai empat teratas adalah berbentuk rumah petani bertajuk Jelapang Padi Kampung Terus Penanti, tangan (Life Theory) dan suasana di kawasan sawah (Melepaskan Keringat Rindu).

Salah satu pasukan daripada senarai Top 4 berkenaan akan diumumkan sebagai arca terbaik menerusi Anugerah Ketua Menteri Pulau Pinang pada penutup program esok. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan