Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Antara persembahan menarik sempena Sambutan Hari Sarawak 2022 di Stadium Tertutup Sibu malam ini. Foto Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak (JaPEN)

Langkah Sarawak teroka sektor hidrogen selari dengan perkembangan global

ByAhmad Burhanuddin

SIBU, 22 Julai : Dasar Kerajaan Sarawak yang lebih awal meneroka potensi gas hidrogen untuk memacu ekonominya kini selari dengan usaha beberapa negara maju di seluruh dunia.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pada mulanya, langkah berkenaan diperlekehkan oleh sesetengah pihak namun perkembangan terkini sektor itu menunjukkan Sarawak berada di landasan tepat untuk muncul sebagai peneraju industri berkenaan.

Katanya, di seluruh dunia kini berlaku ‘perlumbaan’ untuk menghasilkan tenaga hijau.

“Dengan sumber yang banyak seperti air dan tenaga hidro, Sarawak mempunyai potensi cukup besar untuk menjadi hub ekonomi hidrogen di rantau ini.

“Pelabur-pelabur dari Korea Selatan dan Jepun telah mengesahkan pelaburan mereka di Bintulu untuk mengeluarkan hidrogen dan ammonia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Sarawak 2022 bertemakan Sarawak Makmur di Stadium Tertutup Sibu di sini malam ini yang disiarkan secara langsung oleh TVS.

Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib merupakan tetamu kehormat pada majlis sambutan ini yang dihadiri lebih 1,000 orang.

Yang turut hadir, isteri Premier Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Dato Sri Dr. Sim Kui Hian.

Sementara itu, Abang Johari berkata, perancangan ekonomi Sarawak juga jelas yang berpandukan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang dilancarkan.

Ujar beliau, ianya juga telah membuka laluan kepada ekonomi berpandukan dasar pengurangan karbon.

“Bagi menyediakan asas perundangan, Kerajaan Sarawak telah membuat pindaan kepada Ordinan Perhutanan Negeri dan Kanun Tanah Negeri baru-baru ini agar kita mempunyai kapasiti untuk terlibat secara serius dalam proses pengurangan karbon dan perlaksanaan ekonomi hijau,” katanya.

Dalam pada itu, Abang Johari menegaskan di sebalik tumpuan kepada sektor ekonomi hidrogen, Sarawak juga ‘tidak melupakan’ sektor pertanian dan pengeluaran makanan yang memenuhi piawaian antarabangsa.

Bagi mencapai tujuan itu, katanya, kerjasama dengan negara yang memiliki kepakaran dan teknologi boleh menjadi asas kepada Sarawak untuk memajukan sektor berkenaan.

Abang Johari turut berkongsi perkembangan membabitkan kerjasama dengan Singapura sebagai platform untuk menembusi pasaran serantau dan dunia.

“Baru-baru ini saya telah mengetuai rombongan ke negara itu di mana Sarawak mempunyai pejabat kita di sana iaitu Pejabat Pelancongan dan Perdagangan Sarawak, Singapura (STATOS) bagi mempromosikan sektor pelancongan dan perdagangan antara Sarawak dan Singapura.

“Ketika di sana saya telah berjumpa dengan Perdana Menteri Singapura dan juga beberapa orang menteri untuk memperkukuhkan kerjasama perdagangan membabitkan Sarawak dan Singapura, terutama sekali dalam bidang pengeluaran makanan,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan