Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan kadar Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bagi murid sekolah rendah dinaikkan kepada RM4 di Semenanjung Malaysia dan RM5 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

KKM syor kadar RMT dinaikkan

CYBERJAYA, 22 Julai : Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan kadar Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bagi murid sekolah rendah dinaikkan kepada RM4 di Semenanjung Malaysia dan RM5 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata peruntukan Kementerian Pendidikan (KPM) sedia ada bagi RMT iaitu RM2.50 bagi murid di Semenanjung Malaysia dan RM3 di Sabah, Sarawak dan Labuan adalah tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan kos bahan mentah mengikut menu RMT.

“Ia bukan kesalahan KPM (kerana) peruntukan KPM tidak cukup. Ia juga berikutan peningkatan kos harga bahan mentah dan barangan lain dalam negara,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hematogenix Malaysia iaitu makmal penyelidikan klinikal onkologi pusat yang pertama di Malaysia, di sini hari ini.

Khairy berkata beliau akan mengemukakan syor agar peruntukan  KPM  bagi RMT ditingkatkan kepada Kabinet bagi memastikan murid mendapat makanan berkhasiat.

Menurut Khairy, berdasarkan pemantauan kepatuhan menu program RMT yang dijalankan Bahagian Pemakanan KKM dari Januari hingga Jun lepas, hanya 61 peratus sekolah dipantau mematuhi menu RMT.

Beliau juga berkata KKM akan mencadangkan supaya bantuan RMT terus diberikan kepada kanak-kanak dari kumpulan miskin tegar iaitu seramai 789,902 orang.

Mengenai Hematogenix Malaysia, Khairy berkata ia merupakan makmal bertaraf antarabangsa yang memberi tumpuan pada penyelidikan klinikal terutamanya bidang kanser.

Beliau berkata makmal tersebut memberi satu nilai tambah kepada KKM kerana boleh digunakan bagi tujuan diagnostik dan saringan kanser di Malaysia, selain bertujuan menghantar sampel hasil daripada penyelidikan klinikal yang dijalankan di negara ini.

Hematogenix berpusat di Chicago, Amerika Syarikat dan mempunyai tiga cawangan iaitu di United Kingdom, China dan yang terbaharu di Cyberjaya bagi rantau Asia Pasifik meliputi pasaran Jepun, Australia, New Zealand, dan Korea Selatan. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan