LAWAS, 22 Julai : Golongan belia Sarawak perlu bersedia untuk mengalas tanggungjawab menjaga kedaulatan dan memacu kemajuan negeri ini.
Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong berkata, beliau tidak mahu Hari Sarawak yang disambut pada hari ini ‘dilupakan’ golongan berkenaan.
Katanya ini kerana tarikh ini sangat penting yang menandakan Sarawak berjaya berada di bawah pemerintahan sendiri setelah penjajah British berundur.
“Tugas dan tanggungjawab kita semua khususnya orang muda adalah untuk memastikan masa depan anak cucu kita terus terbela,” katanya.
Henry Sum yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan berkata demikian ketika berucap pada Program Senamrobik dan Zumba sempena Hari Sarawak di Dewan Masyarakat Trusan di sini hari ini.
Program itu dianjurkan oleh Pergerakan Pemuda dan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Ba’kelalan.
Yang turut hadir, Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa dan Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok.

Sempena sambutan Hari Sarawak, pelbagai aktiviti menarik berlangsung termasuklah pertandingan mewarna untuk warga emas, kanak-kanak dan pengagihan bendera Sarawak di Pekan Trusan. – TVS