KUCHING, 22 Julai : Atlet bina badan Sarawak, Buda Anchah ‘menghadiahkan’ dua pingat emas yang dimenanginya pada Kejohanan Bina Badan Asia Ke-54 di Maldives, Rabu lepas kepada seluruh rakyat negeri ini sempena sambutan Hari Sarawak.
Atlet berusia 50 tahun itu berkata, pencapaian meraih dua gelaran Juara Asia itu sangat bermakna buatnya dan membuktikan anak Bumi Kenyalang mampu menyengat di pentas sukan antarabangsa.
“Pada masa akan datang, saya berharap agar dapat mengekalkan prestasi cemerlang ini dan berazam untuk meraih kejayaan serupa pada Kejohanan Bina Badan Dunia di Phuket,Thailand, hujung tahun ini,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) di sini hari ini.
Buda disambut meriah oleh ahli keluarga dan rakan – rakannya yang berbangga dengan prestasi cemerlang ditampilkan atlet kelahiran Sri Aman itu.
Rabu lalu, dia merangkul pingat emas kategori 65 kilogram (kg) dan kategori Masters umur 50 hingga 60 tahun.
Ditanya mengenai perancangannya selepas ini, Buda berkata, dia akan berehat selama dua minggu dan selepas itu kembali berlatih.
“Saya perlu fokus dengan latihan dan akan terus berdisiplin untuk mengekalkan prestasi.
“Pada kejohanan dunia ke-13 di Phuket, Disember ini, saya perlu menurunkan berat badan kepada 50 kg berbanding 60 kg ketika ini untuk kategori master,”katanya.
Sementara itu, Malaysia turut meraih pingat perak menerusi seorang lagi atlet Sarawak, Dr Malvern Abdullah dalam kategori lelaki bawah 60 kg.
Atlet wanita, Philomena Dexclyn Siar turut menampilkan persembahan memberangsangkan apabila menduduki tempat keempat kategori fizikal wanita. -TVS