KUALA LUMPUR, 21 Julai : Pemain industri dalam negara diminta menurunkan harga minyak masak selari dengan penurunan harga minyak sawit mentah dunia, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato Sri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata ini dilihat perlu memandangkan harga minyak sawit mentah dunia telah banyak turun daripada paras tertinggi sejak dua bulan lepas.
âSecara prinsipnya harga minyak masak berubah ikut harga minyak masak mentah, harga turun naik ikut harga pasaran dunia dan kita harap pemain industri juga buat penyesuaian harga untuk dijual di peringkat runcit,â katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Terdahulu beliau menyaksikan Majlis Perbarisan dan Kawalan Kehormat sempena Sambutan Jubli Emas Ke-50 Bahagian Penguatkuasa dan Tamat Latihan Kursus Asas Sains Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Tahun 2022 di Maktab Penjara Malaysia.
Semalam, Alexander Nanta dilapor berkata harga minyak sawit mentah turun daripada RM7,000 per tan metrik kepada RM3,600 per tan metrik minggu ini dan menjangkakan harga minyak masak botol dalam negara akan turut dalam masa terdekat selari penurunan berkenaan.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihaknya sedia bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam mendepani masalah berkaitan kekurangan bekalan ubat.
âIa perlu perbincangan bagaimana untuk kawal atau apa sepatutnya dikawal bukan sekadar berkaitan harga sahaja, pandangan KKM juga perlu diteliti,â katanya menambah bahawa pihaknya turut menerima aduan berkaitan kekurangan bekalan ubat namun jumlahnya tidak banyak.
Terdahulu, dalam ucapannya Nanta berkata sebanyak 6,457 kertas siasatan dibuka sepanjang tahun ini sehingga bulan lepas dengan kesalahan tertinggi berkaitan ketidakpatuhan harga, selain merekodkan RM25.94 juta nilai rampasan dan kompaun sebanyak RM3.33 juta.
Pada majlis sama, Alexander Nanta turut mengumumkan jawatan Pengarah Penguatkuasa akan ditukar kepada Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, manakala jawatan Timbalan Pengarah kepada Timbalan Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP.Â
Pada majlis itu, seramai 67 anggota tamat latihan Kursus Asas Sains Penguatkuasaan KPDNHEP yang bermula 1 hingga 14 Julai lepas. –TVS