KUALA LUMPUR, 21 Julai : Berdepan misi penting mempersiapkan pasukan menghadapi Piala Dunia Hoki 2023 di India bermula 13 hingga 29 Jan, ketua jurulatih kebangsaan A. Arul Selvaraj akan memberi penekanan khusus bagi meningkatkan tahap mental pemain.
Beliau berkata sejak dilantik pengendali skuad Speedy Tigers setahun lepas, sasarannya adalah untuk terus meningkatkan mentaliti pemain ke tahap lebih baik.
“Saya nampak selepas Piala Asia 2022, pemain diberikan cuti rehat selama sebulan dan sekembalinya mereka ke kem latihan, tahap kecergasan pemain cuma kurang sekitar 10 hingga 20 peratus sahaja.
“Bagi saya perkara itu sangat baik sebab pemain mempunyai inisiatif sendiri untuk melakukan latihan ketika waktu cuti. Saya sudah beritahu mereka saya tidak akan menjaga sesiapa, mereka perlu mengembangkan diri sebagai pemimpin,” katanya ketika ditemui pemberita di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini, hari ini.
Saingan Piala Dunia Hoki 2023 akan berlangsung di Stadium Kalinga, Bhubaneswar dan Stadium Hoki Antarabangsa Birsa Munda, Rourkela.
Pada masa sama, beliau optimis skuad Speedy Tigers mampu mempamerkan aksi terbaik pada penampilan kesembilan di Piala Dunia, selepas menduduki tempat ke-15 pada edisi 2018, yang juga diadakan di Stadium Kalinga, Bhubaneswar.
Pencapaian terbaik pasukan negara adalah pada edisi 1975 ketika menjadi tuan rumah kejohanan itu, apabila meraih tempat keempat.
Arul Selvaraj berkata saingan Piala Sultan Azlan Shah bermula 1 hingga 10 Nov ini, diikuti Kejohanan Hoki Piala Negara-Negara 2022 pada 28 Nov hingga 4 Dis dan perlawanan persahabatan di Sepanyol pada September adalah antara persediaan untuk menghadapi Piala Dunia 2023.
Beliau percaya kesemua perlawanan berkenaan adalah medan pemanas badan terbaik bagi anak buahnya dalam mengekalkan rentak permainan cemerlang, terutamanya apabila dapat bersaing dengan skuad terbaik negara lain.
Arul Selvaraj juga sedang menumpukan perhatian dalam usaha memberi penekanan kepada ketahanan fizikal dengan menjadualkan ‘fasa fizikal’ atau strength conditioning bagi memastikan pemainnya mempunyai stamina mencukupi untuk beraksi di pentas berprestij itu. –TVS