Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Chai Kang Hui berkongsi kisah anaknya, Lucas yang lambat bertutur disebabkan 'pendedahan' berlebihan terhadap gajet.

Anak lambat bercakap kerana gajet, ayah tubuhkan pusat sehenti intervensi awal

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUCHING, 21 Julai : Proses tumbesaran kanak-kanak dapat dilihat apabila mereka mula merangkak, berjalan dan kemudiannya menyebut perkataan tertentu.

Pada peringkat usia bermula 15 hingga 18 bulan, kemahiran komunikasi anak sedang berkembang.

Ketika ini, mereka biasanya sudah boleh bertutur dan memahami sekurang-kurangnya 10 patah perkataan.

Namun begitu, perkara ini tidak berlaku bagi Lucas Chai Siaw apabila dia hanya ‘mampu’ menyebut perkataan mama dan papa sahaja ketika mencapai usia itu.

Perkembangan ini merisaukan bapanya, Chai Kang Hui mengenai kemampuan pertuturan anaknya.

Tanpa berlengah, Kang Hui, seorang ahli perniagaan segera membawa anaknya ke hospital untuk menjalani pemeriksaan.

“Menerusi intervensi pantas termasuk sesi terapi bercakap di hospital, masalah berkenaan dapat ditangani. Kini pada usia 10 tahun, dia sudah bertutur dengan baik seperti kanak-kanak seusianya,” katanya kepada TVS baru – baru ini.

Kang Hui berkata, keluarganya ‘bernasib baik’ apabila cepat mengesan masalah yang dihadapi oleh Lucas.

Tidak terhenti setakat ini, Kang Hui berasakan dia perlu melakukan sesuatu untuk membantu ibu bapa dan kanak – kanak lain yang berdepan masalah serupa.

Pusat Sehenti Intervensi Awal

Dia kemudian menubuhkan Pusat Sehenti Intervensi Awal di Pusat Integrasi Pintar, Kuching setelah anaknya didiagnosis mengalami gejala lambat bertutur.

Ditanya mengenai punca anaknya ‘lambat bercakap’, Kang Hui mengakui, anaknya ‘diberi’ kebebasan bermain dengan gajet dalam tempoh yang lama setiap hari.

“Seeloknya, kanak-kanak hanya dibenarkan bermain dengan gajet selama sejam sehari bagi mengelakkan masalah seperti dialami oleh Lucas.

“Berdasarkan beberapa kes yang dirujuk di pusat ini, saya difahamkan terdapat kanak – kanak meluangkan sehingga tujuh jam sehari menggunakan telefon pintar atau komputer,”katanya.

Menurutnya, sekiranya kanak – kanak terlalu fokus dengan gajet, mereka tidak mempunyai masa untuk berkomunikasi secara normal.

Katanya, kes anak kecil lambat bertutur menunjukkan peningkatan ketara kebelakangan ini terutamanya ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tanpa menyatakan statistik, Khang Hui menjelaskan trend itu dikesan berdasarkan pemantauannya terhadap kes yang diterima di pusatnya.

“Jika pada usia itu si anak hanya boleh menuturkan satu atau dua perkataan, maka langkah proaktif perlu diambil segera. Jangan anggap perkara ini normal,”katanya.

Pada masa sama, beliau menyeru agar ibu bapa untuk terus mengikuti perkembangan komunikasi anak-anak mereka.

Usia kanak – kanak bertutur

Kang Hui berkata, ketika berusia 24 bulan, kanak – kanak sepatutnya sudah boleh menguasai antara 20 dan 50 patah perkataan.

Selain itu katanya, kanak – kanak juga seharusnya ‘mampu’ menggabungkan dua perkataan menjadi ayat mudah seperti “sayang ayah” sementara anak berusia dua hingga tiga tahun pula sepatutnya sudah boleh menuturkan lebih 50 patah perkataan serta membina ayat yang lebih panjang.

“Masalahnya apabila ramai ibu bapa yang berdepan masalah ini menganggap ianya sebagai perkara itu normal.

“Mereka yakin si anak akan dapat bercakap dengan lancar seiring dengan masa.

“Mereka tidak tahu bahawa semakin lambat mendapatkan rawatan, ianya akan menjadi lebih sukar kerana anak akan ketinggalan dalam aspek komunikasi selain terlepas tempoh kritikal untuk rawatan,” katanya.

Sementara, juruterapi di Pusat Integrasi Pintar, Kueh Hiun berkata, masalah lambat bercakap kanak-kanak boleh dirawat dengan kaedah praktikal.

Jelasnya, terapi dimulakan dengan sesi penilaian bagi membolehkan pakar mengenal pasti kekuatan dan kelemahan anak sebelum mewujudkan garis asas untuk mengukur perkembangan mereka sepanjang terapi.

“Semasa penilaian, komunikasi lisan, nombor serta jenis perkataan dan bunyi yang digunakan oleh anak akan dinilai.

“Kemudian, juruterapi akan menyediakan pelan pengurusan untuk ibu bapa bagi mengenal pasti matlamat yang perlu diberi tumpuan dalam program itu,” jelasnya.

Menurutnya, setiap pelan disusun berdasarkan kemampuan anak seperti meluaskan kosa kata dan meningkatkan kefahaman mereka menerusi beberapa kaedah termasuk membaca.

Bagaimanapun kata Kueh, sesi dengan juruterapi sahaja tidak memadai jika ibu bapa tidak membuat latihan bercakap dengan anak di rumah.

“Contohnya, jika anak anda bermasalah untuk menyebut bunyi tertentu seperti ‘f’, galakkan mereka untuk mengeluarkan bunyi itu dengan sendiri.

“Apabila bunyi itu sudah dapat dikeluarkan dengan mudah, anda boleh gemblengkan menjadi suku kata seperti ‘fi-fi-fi’ sebelum membentuk perkataan.

“Ibu bapa juga harus menumpukan pada apa yang boleh dilakukan oleh anak kerana ianya sama penting dengan tumpuan terhadap perkembangan pertuturan mereka,”jelasnya.

Beri galakan kepada anak untuk bercakap

Katanya, ibu bapa juga perlu ‘memuji’ anak mereka jika berjaya lakukan sesuatu seperti menyimpan barang mainan atau menggunakan tandas dengan baik.

Namun kata Kueh, kebimbangan utama ialah kebanyakan ibu bapa didapati kurang bercakap dengan anak-anak sedangkan si anak akan dapat belajar bertutur dengan baik apabila sentiasa diajak bercakap.

“Selain memastikan gangguan ‘bunyi digital’ pada tahap paling minimum, membacakan buku kegemaran kepada si anak dan kemudian minta mereka bacakan semula kepada anda juga boleh mengukuhkan lagi kemahiran komunikasi.

“Kaedah ini juga boleh digunakan untuk anak yang belum boleh membaca, iaitu dengan meminta mereka menerangkan apa yang mereka lihat di dalam buku,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan