KUCHING, 20 Julai: Kerajaan Sarawak akan terus bekerjasama secara bersepadu dengan pihak berkaitan bagi menangani isu keganasan rumah tangga.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, penglibatan orang awam sangat diperlukan bagi memastikan keselamatan golongan wanita.
Katanya, berdasarkan banyak kes terdahulu, wanita yang mangsa keganasan rumah tangga, sering memilih untuk berdiam diri dan bertahan apabila didera kerana bimbang dengan stigma masyarakat.
“Oleh itu kita perlu memberikan sokongan sepenuhnya kepada mereka dengan memahami situasi yang sedang dihadapi,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Latihan Barisan Hadapan Keganasan Rumah Tangga (DVFT) di sini hari ini.
Sementara itu, Fatimah berkata, kementeriannya akan memberikan perkhidmatan dan perlindungan secara fizikal dan psikologi kepada wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
“Oleh itu, Pusat Sokongan Sosial Komuniti (CSSC) Kuching ditubuhkan sebagai tempat transit sementara bagi mangsa.
“CSSC turut menempatkan pelbagai perkhidmatan dan kemudahan lain termasuk pusat latihan penjanaan pendapatan untuk kumpulan rentan.
“Pada saya adalah penting golongan wanita untuk berdikari,”katanya.
Tambahnya, mangsa keganasan rumah tangga juga boleh mendapatkan bantuan perlindungan atau kaunseling menerusi Hotline JWKS Helpline di talian 082-448866 atau 1800-22-5566.- TVS