SERIAN, 20 Julai : Orang ramai dijemput merebut peluang untuk memenangi hadiah wang tunai keseluruhan RM27 000 yang ditawarkan pada Serian Rafting Challenge Festival 2022 yang akan berlangsung Ahad ini.
Jabatan Penerangan Malaysia (JaPEN) Sarawak berkata, pertandingan rakit itu akan menyaksikan peserta akan berkayuh sepanjang 25 kilometer (km) menyusuri laluan di Sungai Batang Sadong/Kayan.
Sebanyak lima kategori dipertandingkan iaitu masing – masing terbuka lelaki dan wanita, terbuka belia, kategori campuran bagi jabatan atau agensi kerajaan serta kategori campuran bagi hotel dan agensi pelancongan.
“Peserta yang mengambil bahagian akan berlepas di Kampung Tema Mawang, Daerah Tebedu menuju ke Kampung Tebakang Dayak, Daerah Serian yang merupakan garisan penamat,” jelas JaPEN Sarawak menerusi kenyataan media.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr. Simon Sindang Bada dijangka akan menyempurnakan acara pelepasan Serian Rafting Challenge manakala penangguhan pula akan disempurnakan oleh Ahli Parlimen Serian, Dato Sri Dr Richard Riot Jaem yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Jepun, Korea Selatan dan Taiwan.
Selain itu turut berlangsung pertandingan ratu cantik anjuran Majlis Daerah Serian bagi merebut gelaran Ratu Bilanting, Miss Photogenic, Miss Talent dan Miss Popular turut diadakan.
Pertandingan yang menampilkan penyertaan para jelitawan dari Kuching, Samarahan dan Serian akan diadakan pada sebelah malam di pekarangan Pasar Tebakang Cina, Serian.
Menariknya, juri bagi pertandingan ratu cantik ini terdiri daripada Miss World Malaysia 2018, Larissa Ping, Miss World Malaysia 2014, Dewi Liana Seriestha dan Miss Earth Fire Kuala Lumpur 2016, Yvonne Ashley.
Acara lain yang memeriahkan suasana pada sebelah malam termasuk persembahan hiburan, pertandingan karaoke serta aktiviti jualan para peniaga.
Orang ramai yang ingin menyaksikan acara yang dipertandingkan boleh berkunjung ke tapak ekspo di pekarangan tempat letak kereta Dewan Masyarakat Serian. – TVS