SHAH ALAM, 19 Julai : Polis menahan seorang penceramah bebas di Kuala Selangor petang semalam kerana disyaki terlibat kes rogol seorang remaja perempuan.
Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S.Sasikala Devi berkata pada 16 Julai lepas polis menerima laporan yang dibuat seorang remaja berusia 14 tahun itu yang mendakwa telah dirogol.
Beliau berkata siasatan awal polis mendapati pengadu berkenalan dengan suspek yang berumur dalam lingkungan 30an itu sejak Mei tahun lepas.
“Bermula dari perkenalan itu pengadu dan suspek telah beberapa kali melakukan hubungan intim di beberapa lokasi berbeza,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya bertindak hasil maklumat, polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor telah menahan suspek kira-kira pukul 4.50 petang semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor.
Sasikala Devi berkata suspek kini direman lima hari bermula hari ini.-TVS