BUKIT KAYU HITAM, 19 Julai : Usaha 27 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Myanmar membolosi sempadan negara terbantut selepas mereka ditahan polis di Simpang Tiga, Kampung Lubuk Sengkuang di sini semalam.
Kumpulan yang terdiri daripada 20 lelaki dan tujuh perempuan berusia 19 hingga 43 tahun itu ditahan semasa Ops Benteng COVID-19 kira-kira pukul 5.50 pagi.
Difahamkan 20 daripadanya termasuk pemandu disumbat di dalam sebuah van jenis Nissan Urvan manakala tujuh lagi menaiki kereta jenis Proton Saga.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, pihaknya mengesan kedua-dua kenderaan itu dalam keadaan mencurigakan sebelum membuat penahanan tersebut.
“Hasil pemeriksaan mendapati dua daripadanya adalah tekong lelaki warga Myanmar berusia 35 dan 43 tahun dengan salah seorang daripadanya memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
“26 individu lain didapati tiada sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Rodzi lagi, suspek dipercayai memasuki negara ini dari Danok, Thailand melalui pagar sempadan Pos 1 dan Pos 2 kawalan tentera di laluan paip gas Petronas, Felda Bukit Tangga di sini.
Katanya, kesemua suspek ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu di sini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 26A, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – TVS