KUALA LUMPUR, 19 Julai : Kerajaan akan merancang pelaksanaan subsidi bersasar secara berfasa bagi memastikan ia tidak mengakibatkan inflasi secara mendadak atau menjejaskan momentum pertumbuhan ekonomi, menurut Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Beliau berkata, ini selaras dengan pendekatan yang telah diambil kerajaan untuk ayam di mana kerajaan telah meningkatkan harga silingnya sebanyak 50 sen sekilogram bagi mengurangkan herotan pasaran, namun, pada masa yang sama memberi bantuan tunai tambahan kepada golongan B40.
“Sejajar dengan pendekatan ini, kerajaan tidak akan menaikkan harga petroleum terus kepada harga pasaran tanpa subsidi memandangkan impaknya kepada inflasi walaupun harga RON95 pada RM2.05 seliter adalah lebih kurang 50 peratus daripada harga sebenar tanpa subsidi,” katanya dalam sesi Waktu Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) yang ingin tahu mengenai subsidi petrol secara bersasar dan langkah yang diambil untuk memastikan harga barangan dan inflasi masih terkawal dengan pengenalan subsidi secara bersasar.
Katanya kadar inflasi Malaysia boleh dianggap sederhana berikutan langkah kerajaan untuk melaksanakan kawalan harga ke atas barangan dan perkhidmatan asas khususnya melalui pemberian subsidi harga bahan api dan makanan terpilih serta subsidi elektrik.
“Kerajaan juga masih di peringkat awal pengujian mekanisme pemberian subsidi petrol secara bersasar. Pengujian tersebut akan disusuli dengan pengujian yang lebih meluas dari segi beberapa kaedah lain dan juga bagi menguji kebolehlaksanaan mekanisme tersebut bukan sahaja di kawasan bandar tetapi juga di kawasan luar bandar,” katanya.
Menurut Tengku Zafrul, pembangunan dan pengujian sistem subsidi bersasar dijangka memerlukan tempoh antara tiga hingga enam bulan sebelum bersedia untuk dilaksanakan di seluruh negara. – TVS