Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pekerja ladang sawit
Malaysia bersetuju secara dasar untuk mengintegrasikan sistem dengan Indonesia berhubung pengambilan pekerja asing ke negara ini. Foto: Bernama

Isu beku pekerja asing: Malaysia setuju secara dasar integrasi sistem dengan Indonesia

ByBernama

KUALA LUMPUR, 19 Julai : Malaysia bersetuju secara dasar untuk mengintegrasikan sistem dengan Indonesia berhubung pengambilan pekerja asing ke negara ini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata langkah itu bagi membolehkan kedua-dua negara mempunyai maklumat mengenai kemasukan pekerja Indonesia ke Malaysia.

“Apabila kita mengadakan perbincangan dengan pihak Indonesia, mereka cadangkan guna One Channel System yang sedia ada di Indonesia…buat masa ini, kita melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) gunakan Sistem Maid Online yang Indonesia berpendapat mereka tiada pengetahuan mengenai pekerja dari Indonesia masuk ke Malaysia.

“Dengan adanya One Channel System mereka akan dapat memantau dan setelah kita berbincang dengan KDN, kita bersetuju dari segi dasar untuk mengintegrasikan sistem sedia ada dengan KDN dan sistem yang dicadangkan oleh Indonesia supaya kedua-dua negara akan ada maklumat,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Steven Choong Shiau Yoon (PBM-Tebrau) mengenai kesan pembekuan sementara pekerja asing dari Indonesia terhadap sektor-sektor yang memerlukan serta jangka masa bagi menyelesaikan perkara itu.

Saravanan berkata isu pembekuan sementara pekerja asing dari Indonesia itu dijangka diselesaikan dalam masa terdekat.

Beliau berkata pihaknya sedar industri di negara ini memerlukan pekerja asing dalam kadar segera.

Menjawab soalan tambahan Loke Siew Fook (PH-Seremban) mengenai sama ada terdapat syarat  pemansuhan Sistem Maid Online dalam Memorandum Persefahaman Malaysia dan Indonesia, Saravanan berkata tiada sebarang syarat untuk memansuhkan sistem sedia ada.

Saravanan memaklumkan Memorandum Persefahaman Malaysia dan Indonesia mengenai Pengambilan dan Penempatan Pekhidmat Domestik Indonesia telah ditandatangani pada 1 April lepas.

Memorandum persefahaman itu membuka laluan kepada kemasukan pekerja Indonesia untuk sektor-sektor lain yang dibenarkan bagi penggajian pekerja asing termasuk pekerja domestik Indonesia.

Namun pada 12 Julai lepas, kerajaan Indonesia mengumumkan penangguhan sementara kemasukan pekerja warga Indonesia ke Malaysia ekoran daripada kekeliruan yang timbul dalam mekanisme pengambilan pekerja domestik Indonesia ke negara ini.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan perbincangan kerajaan dan pihak Indonesia mengenai isu pembekuan pekerja asing dari negara itu sudah pun dimulakan – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan