Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Dakwaan kerajaan kurangkan bantuan, subsidi tidak benar – Tengku Zafrul

ByBernama

KUALA LUMPUR, 19 Julai : Kementerian Kewangan hari ini menafikan dakwaan bahawa kerajaan telah bertindak mengurangkan bantuan dan subsidi.

Sambil menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak benar, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebaliknya menegaskan bahawa realitinya kerajaan terus memberi pelbagai bantuan dan subsidi kepada rakyat, terutama yang berkaitan minyak dan petroleum.

“Di samping itu, kerajaan juga telah memperkenalkan subsidi baharu yang tidak termasuk dalam Bajet 2022 iaitu bagi ayam dan telur serta elektrik.

“Sebagai contoh bagi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG), anggaran keperluan subsidi tahun ini adalah RM37.3 bilion berbanding RM13.2 bilion pada tahun lepas,” katanya dalam sesi Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) yang bertanyakan bagaimana kerajaan membiayai jumlah keseluruhan subsidi yang dijangka mencecah RM80 billion bagi 2022 serta bentuk pembaharuan dasar subsidi yang sedang dirancang.

Menjelaskan selanjutnya, Tengku Zafrul berkata subsidi minyak masak pula telah mencecah RM4 bilion berbanding RM2.2 bilion manakala subsidi kepenggunaan lain melibatkan anggaran perbelanjaan RM9.7 bilion berbanding hanya RM1.1 bilion tahun lepas.

Selain itu, beliau berkata harga minyak mentah dan sawit yang lebih tinggi pada tahun ini dijangka dapat menjana hasil cukai tambahan lebih RM10 bilion.

“Tambahan kepada itu, momentum pemulihan (ekonomi) melebihi jangkaan dengan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia bagi pada suku pertama tahun ini amat memberangsangkan pada kadar lima peratus dan dijangka lebih kukuh pada suku kedua,” katanya.

Menurut Tengku Zafrul, berdasarkan aliran tersebut, Malaysia bakal menerima hasil tambahan berkaitan cukai pendapatan serta cukai tidak langsung yang melebihi RM10 bilion.

“Namun, kesemua peningkatan hasil ini adalah tidak mencukupi untuk menampung peningkatan subsidi yang telah melebihi RM40 bilion,” katanya.

Beliau berkata, strategi kerajaan juga adalah untuk menyemak dan menilai semula keberkesanan setiap program subsidi serta insentif yang telah dilaksanakan.

Pada masa sama, kerajaan juga akan terus meneliti sumber hasil dan penjimatan tambahan untuk menampung keperluan tambahan subsidi bagi separuh kedua 2022.

“Saya juga ingin menegaskan bahawa langkah-langkah yang berpaksikan kesejahteraan rakyat akan tetap diteruskan,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan