KUCHING, 18 Julai: Britain menyatakan hasrat untuk menjalinkan kerjasama dengan Sarawak dalam membangunkan vaksin farmaseutikal pada masa hadapan.
Menurut Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Charles Hay, pihaknya juga sedang meneliti peluang pelaburan di Sarawak berdasarkan Pelan Tindakan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 yang dibangunkan oleh kerajaan negeri sebelum ini .
“Kami sentiasa berminat untuk mencari pelaburan baru dan saya merasakan bidang perubahan iklim mempunyai peluang ekonomi dan nilai komersial serta perkongsian kemahiran dan pengalaman yang sangat menarik.
“Pada masa sama, saya kagum dengan sambutan luar biasa yang diperolehi Sarawak terhadap kadar vaksinasi yang sangat baik yang mana ada kemungkinan pada masa hadapan untuk pihak United Kingdom dan Sarawak untuk bekerjasama dalam pembangunan vaksin farmaseutikal.
“Namun, ini masih dalam peringkat awal dan memerlukan penelitian yang menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, Charles berkata, negaranya turut berminat untuk menjalinkan kerjasama dengan Sarawak dalam penerokaan sumber tenaga yang dilihat mempunyai potensi besar.
“Kami sangat berminat mengenai perancangan Sarawak untuk meneroka sumber tenaga seperti sumber hidrogen dan karbon.
“Kita boleh bekerjasama dalam hal ini kerana kami mempunyai banyak kemahiran dan kapasiti dalam teknologi hijau dan teknologi penyimpanan/penangkapan karbon,”katanya.
Tambahnya beliau yakin kepakaran yang dimiliki pihaknya dapat membantu menjayakan perancangan Sarawak itu jika kerjasama antara kedua belah pihak terjalin.-TVS