KUCHING, 17 Julai : Program Sejuta Kasih yang dianjurkan secara bersama oleh Pertubuhan Kebajikan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Sri Satok bersama Ronald McDonald House Charities (RMHC) Malaysia dan McDonald’s (McD) baru – baru ini menyantuni dua warga emas yang berdepan masalah kesihatan.
Menurut PAWE, program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) itu juga bertujuan untuk memberi sokongan kepada keluarga warga emas berkenaan.
Sempena lawatan itu, barangan keperluan asas termasuk makanan turut diserahkan kepada warga PAWE dan keluarga mereka.
“Menerusi acara ini, rakan-rakan PAWE Sri Satok, krew-krew RMHC dan McD menziarahi rumah Seniah Seman di Kampung Sungai Maong dan Seniah Sumbi di Kampung Kudei Baru.
“Kedua-duanya mengalami masalah kesihatan yang menyukarkan mereka untuk hadir dan menyertai program-program di PAWE Sri Satok,”jelas PAWE menerusi kenyataan media.
PAWE berkata, pihaknya berharap kunjungan berkenaan sedikit sebanyak dapat memeriahkan suasana di kediaman warga PAWE Sri Satok.
Ujar PAWE, program itu juga bertujuan memberi kesedaran mengenai keperluan menyayangi warga emas di samping menggalakkan lebih banyak badan korporat untuk menganjurkan program komuniti. -TVS