Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II Datuk Hasbi Habibollah (lima, kanan) ketika melawat ruang pameran pada Karnival Institusi Pendidikan MARA (IPMA) 2022, hari ini. Foto Bernama.

MRSM Bintulu hampir siap, pembinaan MRSM Lawas diteruskan

ByYusuf Shukri

KUCHING, 17 Julai : Projek pembinaan dua buah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) baharu di Sarawak berjalan lancar di sebalik gangguan yang timbul akibat pandemik COVID-19.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II, Datuk Hasbi Habibollah berkata, dua projek pembinaan berkenaan membabitkan MRSM Bintulu dan Lawas bagi menampung jumlah pelajar yang semakin meningkat.

Katanya, pembinaan MRSM Bintulu kini sudah mencapai kemajuan lebih 90 peratus dan dijadualkan siap sepenuhnya pada tahun depan.

“Kami cukup berbesar hati kerana pembinaan MRSM ini ditaja sepenuhnya oleh PETRONAS,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Karnival Institusi Pendidikan MARA (IPMA) 2022 di sebuah pusat beli-belah di sini hari ini.

Mengenai MRSM Lawas pula, Hasbi berkata, ianya masih di peringkat proses perolehan kerana sebelum ini tergendala susulan pandemik selain faktor kenaikan harga bahan binaan.

“Pembinaan MRSM Lawas dijangka akan mengambil sedikit masa kerana variasi harga bahan binaan yang baharu memerlukan kita untuk mengemas kini informasi yang berkaitan,”katanya.

Terdahulu, Hasbi turut memaklumkan lebih 3,000 surat tawaran telah diberikan kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang layak melanjutkan pengajian mereka di institusi pilihan masing-masing sejak 18 Jun lepas.

Katanya, surat tawaran yang dikeluarkan itu membabitkan diploma, ijazah sarjana muda dan sarjana malah ada yang ditawarkan pengajian di luar negara.

Sehubungan itu beliau menyeru anak Sarawak untuk merebut peluang bagi mendapat maklumat mengenai laluan pendidikan dan kemudahan yang disediakan MARA. 

“Anak Sarawak perlu rebut peluang ini agar dapat meningkatkan tahap akademik masing-masing sekali gus mampu menyumbang kepada perubahan sosioekonomi keluarga kelak,” katanya.

Penutupan karnival IPMA, yang diadakan serentak dengan karnival di Johor Bahru dan Alor Setar telah menghimpunkan 24 insitutsi pendidikan di bawah MARA selain institusi pengajian tinggi awam dan swasta. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan