GEDONG, 16 Julai : Sarawak hanya menerima kesan minima berikutan langkah Indonesia menghentikan sementara proses pengambilan pekerja dari negaranya ke Malaysia.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, antara bidang yang dijangka berdepan masalah ialah kemasukan pembantu rumah.
“Saya rasa mungkin terjejas kerana ia adalah dasar Kerajaan Indonesia.
“Bagaimanapun saya difahamkan oleh Konsul Jeneral Indonesia di Kuching bahawa perkara itu sedang diselesaikan dan Sarawak tidak ada masalah,”katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan dan Program Jualan Terus Dari Ladang Keluarga Malaysia Sarawak 2022 di sini hari ini.
Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono, baru – baru ini berkata, negaranya menghentikan sementara semua proses berkaitan pengambilan pekerja dari negaranya di semua sektor berkuat kuasa serta merta.
Katanya, ia susulan wujud salah faham dalam penggunaan sistem yang sudah dimeterai untuk digunakan sebelum ini dan pihaknya sudah menghantar maklum balas itu kepada Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, ia juga tidak memberi kesan terhadap sektor – sektor lain di Sarawak.
Sebagai reaksi kepada keputusan Indonesia itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Malaysia akan menggunakan 15 negara sumber lain bagi pengambilan pekerja asing. -TVS