BUTTERWORTH, 16 Julai : Ibu seorang kanak-kanak perempuan yang didakwa dicabul seorang lelaki warga emas di Taman Semilang, Seberang Jaya di sini seperti yang tular di media sosial menafikan kejadian berkenaan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner (ACP) Tan Cheng San berkata, beberapa saksi mendedahkan, lelaki tempatan berusia 80-an yang tinggal di Taman Semilang tersebut adalah seorang nyanyuk dan tidak boleh berkomunikasi dengan baik.
“Suspek dan kanak-kanak perempuan itu tinggal di taman sama dan menurut ibu kanak-kanak itu suspek telah dianggap sebagai ahli keluarganya.
“Wanita itu mengesahkan insiden yang tular tersebut sebagai tidak benar dan menafikan suspek melakukan perkara tidak senonoh terhadap anaknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial sejak semalam beberapa keping gambar memaparkan seorang lelaki warga emas sedang merangkul bahu seorang kanak-kanak yang didakwa berlaku di tempat awam.
Individu yang memuat naik gambar itu mendakwa dia melihat lelaki tersebut menyentuh dada dan kemaluan kanak-kanak terbabit sambil meminta penduduk Taman Semilang berwaspada.
Sementara itu, Cheng San turut menasihati orang ramai agar tidak menularkan dakwaan itu di media sosial kerana boleh menyebabkan kegelisahan kepada masyarakat.
Katanya, tindakan menularkan maklumat tidak sahih adalah menjadi kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – TVS